::-PENCINTA ILMU-::

Monday, September 26, 2011

Cerpen : Bersabarlah Duhai Ukhti

Khas buat semua akhwat-akhwat dakwah.
________________________________________________________________________________



"Syikin, mak dah tak tahan. Sampai bila kau nak jadi macam ni. Tebal muka mak tolak setiap orang yang datang."
"Belum jodoh mak. Nak buat macam mana."


"Belum jodoh apanya. Kau yang tolak mereka semua."


Wajah mulusnya tertunduk sepi. Sedaya upaya wajahnya diusahakan supaya tenang. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu. Malam itu dia menangis sendirian. Tak sanggup rasanya hendak menahan desakan keluarga agar menerima sahaja pinangan mereka yang datang. Namun dia ada pertimbangannya sendiri. Bukan dirinya tidak mahu menikah. Tetapi seperti yang sentiasa disampaikan olehnya, belum jodoh.


Syikin cantik, sopan, akhlaknya baik. Gadis desa berpendikan tinggi yang menjadi tambatan hati jejaka-jejaka yang mengenalinya. Cuma masalahnya..


"Kalau cantik tapi tak kahwin-kahwin juga, andartulah kau nanti!"


**********************************************************************************


Malam itu sudah kesekian kalinya dia menangis. Terasa sungguh beratnya hendak menghadapi desakan keluarganya. Mahu sahaja dia mengalah. Pernah sahaja dirasakannya bahawa Allah tidak lagi mahu membantunya, namun dibuang jauh-jauh perasaannya itu. Teringat dia akan perbualannya dengan teman karibnya, Fasihah.

"Fasihah, ana dah tak tahan lagi. Semalam ada lagi orang masuk meminang. Keluarga ana asyik-asyik suruh ana segera menikah. Tak tahu sampai bila ana harus bertahan."

"Syikin ukhtiku, bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,kan?"

"Memanglah, tapi sampai bila? Mana ikhwah-ikhwah kita? Kenapa bukan mereka yang masuk meminang?"

"Syikin, sabar. Masanya masih belum tiba Syikin. Ana yakin ikhwah-ikhwah kita juga sedang berusaha sedaya-upaya mereka. Realiti masyarakat di Malaysia ini, menikah awal itu suatu yang agak 'luar biasa' bagi mereka. Ana yakin, itulah yang menghambat kebanyakan daripada ikhwah-ikhwah kita. Bukannya mereka tidak berusaha."

"Kenapa kita kena susah-susah tunggu ikhwah-ikhwah kita juga? Ramai juga calon lain yang soleh, kenapa mesti mereka?"

"Ukhti, apa tujuan hidup kita?"

"Tentulah mengabdi kepada Allah."


"Dan enti tahu, untuk beristiqomah di atas jalan pengabdian kepada Allah itu, tidak mudah. Banyak ranjau dan durinya. Sebab itu kita perlu bersedia dengan persiapan yang terbaik. Dan kita bukan pengabdi semata-mata, kita da'i. Pengislah ummat. Mengabdi kepada Allah dan mendakwahi ummat ke jalan Allah. Kerana kita ummat Nabi Muhammad.


 Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
[Q.S. Yusuf, 12:108]


"Untuk kekal berada dalam jalan ini sekarang, ketika kita bersendirian, yang perlu kita hadapi adalah diri kita sendiri. Namun selepas pernikahan, keputusan kita tidak lagi bersendirian. Suami kita nanti sangat akan mendominasi keputusan- keputusan kita. Jika suami kita nanti bukan seorang yang faham akan dasar-dasar perjuangan kita, sudah pasti usaha untuk kita terus bertahan akan menjadi semakin sukar."


Dia terdiam. Syikin atau nama sebenarnya Nurul Asyikin Abdullah, bukannya tidak tahu akan hakikat itu. Cuma fikirannya terganggu menyebabkan diluahkan segala permasalahannya itu kepada akhwat yang sangat dekat kepadanya. Fasihah juga sangat memahami. Tidak perlu diterangkan, ukhuwah yang terbina telah menjelaskan sedari mula. Tekanan perasaan dan masalah dalaman manusia mampu dikurangkan malah diselesaikan dengan berkongsi mengenainya.


**********************************************************************************


Malam itu dia kembali menghubungi akhwatnya itu.


"Assalamu'alaikum. Fasihah Fathiyyah binti Kamaruddin ada?"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah. Tak pernah-pernah ada orang telefon ana sebut nama penuh."

"Heh, saja, nak mengusik akhwat tercinta."

"Yelah tu. Dari suara enti ana dah dapat rasa ada sesuatu yang enti fikirkan. Ada apa Nurul Asyikin binti Abdullah? Ayyu musykilah ya ukhti el kareemah?"

Lalu dikongsikannya hal yang baru dihadapinya. Dan seperti biasa juga, Fasihah akan setia mendengar dan menghibur serta menenangkannya.

"Entahlah. Ana tak tahu kenapa banyak sangat ujian yang datang. Mungkin Allah nak latih ana untuk
lebih bersabar agaknya. Menunggu si dia yang entah bila akan kunjung tiba. Kena banyak berdoa lagi ni."

"Betul tu. Berdoalah dengan lebih bersungguh-sungguh ukhti. Dan ikhlaskan niat. Ramai orang cari Allah ketika hadapi masalah. Mereka berdoa semata-mata untuk memenuhi keperluan dunia mereka. Bila apa yang mereka mahu dah dicapai, mereka lupakan Allah. Dan Allah katakan mereka melampaui batas".


Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.
[Q.S. Yunus, 10:12]


"Ikhlaskan niat. Mungkin selama ini doa kita hanya untuk disegerakan menikah, bukan kerana untuk mencari redha Allah. Kalau memang kita bersungguh-sungguh untuk mencari redha-Nya, pasti jalannya akan terbuka.


Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]


 "Jangan resah jika belum berpasangan, tetapi resahlah jika belum mendapat cinta daripada Tuhan. Ana pegang sungguh kata-kata tu. Ana pun kalau boleh nak segera menikah, tapi mungkin ada hikmahnya Allah masih menangguhkannya. Mungkin ana masih belum bersungguh-sungguh dalam mencari cinta-Nya. Mungkin jika Allah izinkan ana menikah sekarang, hala tuju cinta ana akan tersasar kepada makhluk-Nya."


Asyikin berfikir dalam. Cinta Allah. Sudah benarkah hala tuju cintanya? Sudah digapaikah cinta Allah itu? Ikhlaskan amalnya selama ini mencari redha-Nya semata?

"Terima kasih ukhti. Insya-Allah ana akan terus pegang kata-kata itu."

Perbualan ditamatkan. Namun fikirannya terus berputar. Masih bergema-gema di telinganya
mendengarkan kata-kata akhwatnya itu.


'Jangan resah jika belum berpasangan, namun resahlah jika belum mendapat cinta dari Tuhan.'




Kisah lalu hidupnya kembali memenuhi ruangan fikirannya. Teringat akan saat-saat mula ditarbiyah. Bagaimana dia mula mengenali Fasihah.
Bagaimana seluruh hidupnya berubah kembali mengenali Allah. Mula membaca Al-Quran, mula menjaga solat, mula menjaga pergaulan, mula berpakaian labuh dan sopan, sehingga kembali menjadi dirinya kini.

Dirasakannya Allah begitu baik kepada dirinya. Allah telah menyelamatkannya daripada jurang kejahiliyahan kepada cahaya hidayah-Nya. Memberikan dirinya peluang untuk kembali menjadi hamba-Nya yang dekat kepada-Nya. Tidak semena-mena matanya berkaca. Lalu manik-manik jernih menuruni pipi.

'Ya-Allah. Ampunkan aku. Selama ini aku khilaf. Maafkan aku jika selama ini aku tidak ikhlas mencari cinta-Mu. Maafkan aku jika selama ini aku kurang mengingatimu. Maafkan aku jika selama ini aku hanya berdoa kepada-Mu untuk memenuhi keperluan peribadiku. Ya-Allah, bantulah aku untuk kembali mencari cinta-Mu. Bantulah aku untuk kembali memperbaiki diri semata-mata untuk-Mu.' Hatinya bermunajat lirih.

Malam itu tidak dibiarnya berlalu begitu sahaja. Solat malam didirikan. Al-Quran ditadabburinya. Hatinya terubat dengan ayat-ayat yang menceritakan perihal syurga dan keindahannya.
Tafsir Surah Ar-Rahman sangat menghibur hatinya.

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. [70]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [71]
(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah. [72]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [73]
Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. [74]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [75]
Mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. [76]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [77]
Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Karunia. [78]
 [Q.S. Ar-Rahmaan, 55:70-78]


'Alangkah indahnya syurga. Layakkah aku untuk menghuninya?'

Lalu tekad disemat.

"Ya-Allah, hidupkalah aku dalam redha-Mu semata-mata. Jika memang jodohku bukan di dunia ini
Ya-Allah, maka kurniakanlah aku jodoh di akhirat kelak. Jodoh abadi yang disediakan untuk para pencinta-Mu. Jadikan aku seperti Rabiah Al-Adawiyah yang tulus mencari redha-Mu dan cinta-Mu."

Air mata terus menjadi saksi. Keheningan malam terus dipecahi bunyi tangis dan rintih seorang Nurul Asyikin yang sudah kembali mencari cinta sejatinya. Dan Allah pasti punya rencana-Nya. Percaturan Allah siapa yang tahu?


***********************************************************************************


Keesokkan paginya Sony Ericsson K800i kesayangannya berbunyi. SMS masuk. Daripada Ukhti Syuhada, murobbiyahnya. Murobbi atau murobbiyah adalah mereka yang bertanggungjawab menguruskan urusan tarbiyah seseorang ikhwah dan akhwat tarbiyah. Mereka yang mengatur perjalanan tarbiyah dan porgram-program yang perlu dilalui untuk menambahkan kefahaman dan memastikan keberlangsungan tarbiyah yang dijalani oleh seseorang ikhwah dan akhwat itu.

Lalu SMS dibaca.

Salam. Ukhti, alhamdulillah malam semalam ada ikhwah hantar resume. Kalau enti dah bersedia, nanti ana dan zauj ana akan susunkan majlis ta'aruf untuk enti dan ikhwah tu.

Terasa bagaikan hawa sejuk mengalir menyelubungi jiwa dan perasaannya. Kasih sayang Allah sungguh terasa membelai ubun-ubun. Segera sujud syukur dilakukan. Air mata syukur dan bahagia mengiringi pagi yang indah itu. Nurul Asyikin semakin yakin bahawa cinta Allah tidak pernah mengecewakan.


Bagaimana anda?
Sabarlah menanti!
Usahlah ragu!


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

No comments:

Post a Comment


POLI Bloggerz