::-PENCINTA ILMU-::

Saturday, July 16, 2011

Dia Datang Menjemputku

"Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan"


Seorang anak Adam sedang 'bahagia' menikmati hidup, bersuka ria dan bergelak ketawa bersama rakan-rakan dan keluarga, ada yang leka bekerja mencari rezeki untuk membahagiakan kehidupan yang sedia ada, ada yang sedang lena diulit mimpi-mimpi indah, tidak kurang ada yang sedang berpesta menikmati keseronokan dunia, ada pula yang sedang lalai melakukan kemaksiatan dan terlalu ramai yang sedang hanyut dalam gelombang dosa yang berterusan..tetapi pernahkah mereka terfikir, pedihnya saat yang dinamakan Sakaratul Maut?!

"Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kalian tangisi boleh berbicara sebentar, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kalian, nescaya kalian akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kalian sendiri" - Imam Ghazali


Imam Ghazali juga meriwayatkan sebuah hadith daripada Rasulullah S.A.W, baginda bersabda:

"Ketika sekelompok Bani Israel berada di sebuah tanah pekuburan, mereka berdoa pada Allah S.W.T agar Allah dapat menghidupkan semula satu mayat daripada tanah pekuburan itu agar mereka dapat mengetahui gambaran sakaratul maut yang sebenarnya. Dengan izin Allah S.W.T, tiba-tiba mereka dihadapkan dengan seorang lelaki yang muncul dari salah satu liang lahad tersebut. "Wahai manusia !", kata lelaki tersebut. "Apa yang kalian kehendaki dariku? Limapuluh tahun yang lalu aku mengalami kematian, namun hingga kini rasa kesakitan bekas sakaratul maut itu belum juga hilang dariku."


Kata Saidina Ali Ibn Abi Talib R.A, " Manusia ini sebenarnya tidur dan akan bangun bila ia mati. Bila sampai saat kematian baru dia sedar akan perlunya bekalan amalan untuk dibawa ke akhirat untuk dihitung oleh Allah kemana arah tujuan. Dimana tempat bermulanya 'kehidupan' yang sebenar."

"Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu, hingga apabila datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata: "Ya Rabb kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitan." (al-Mu'minun : 99-100)

Suatu hari, Nabi Ibrahim A.S meminta kepada Allah agar diperlihatkan wajah malaikat maut ketika ingin menarik nyawa orang-orang yang musyrik dan tidak beriman kepada Allah S.W.T. Maka Allah memperkenankan permintaan Nabi Ibrahim A.S. Sejurus selepas itu muncullah malaikat maut berkulit hitam legam, berbau teramat busuk dan meloyakan, memiliki dua mata satu didepan dan satu dibelakang. Di mulutkan kelihatan api yang panas membara. Nabi Ibrahim A.S yang melihatnya pengsan tidak sedarkan diri. Sedangkan saat sakaratul maut manusia yg kufur itu diseksa sedemikian rupa, sesungguhnya seksa Allah S.W.T diakhirat kelak lebih berlipat kali gandanya!


Apabila hampir mati seseorang hamba Allah maka terbahagilah dia kepada lima bahagian:

1.      Hartanya untuk waris-waris tinggalannya.
2.      Nyawanya untuk ditarik oleh Malaikal Maut.
3.      Dagingnya di perut bumi untuk santapan ulat-ulat.
4.      Tulangnya untuk direputkan oleh tanah.
5.      Amalan dan kebajikannya sepanjang hidup dimuka bumi serta doa anak yang soleh  yang tidak jemu-jemu mendoakannya.



Kadang kala ada ketikanya, orang yang telah mati seakan-akan datang kepada kita untuk meraih 'bantuan' daripada kita seperti contoh, mereka menghadirkan diri dalam mimpi kita supaya kita melihat keadaan mereka di alam sana dan terima pengajaran daripada apa yang diperlihatkan kepada kita. Maka ingatlah kepada mereka yang telah kembali menghadap Ilahi serta sedekahkanlah Al-Fatihah dan bacalah Yasin untuk mereka mudah-mudahan beban yang ditanggung mereka dikurangkan. Insya-Allah.

Mati itu perkara yang paling pasti di pengakhir kehidupan. Silap bagi mereka yang berpendapat bahawa mati itu umpama tidur yang panjang dan segala nasib malang akan berakhir sesudah kematian. Mati itu sebenarnya permulaan bagi kehidupan-kehidupan lain di alam kubur, di alam padang masyar, di alam yang kekal abadi, syurga dan neraka. Wallahualam.

Andai kutahu
Malaikat-Mu kan menjemputku
Izinkan aku
Mengucap kata taubat pada-Mu

Aku takut
Akan semua dosa dosaku
Aku takut
Dosa yang terus membayangiku


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

Friday, July 15, 2011

HEMBUSAN KEBAHAGIAAN

Apabila tiba bulan Ramadhan Rasulullah SAW menyampaikan berita yang membahagiakan sahabat-sahabat sebagaimana sabdanya:
“Daripada Abu Hurairah RA, katanya; Ketika tiba bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersabda “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan yang Allah mewajibkan berpuasa di dalamnya, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaithan-syaithan dibeleggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan darinya , sungguh ia telah rugi” (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut Ibnu Rajab, hadith ini umpama saranan untuk jiwa-jiwa mukmin mengucapkan selamat datang dan bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Bagaimana mungkin kita tidak merasa bahagia apabila pintu-pintu syurga terbuka luas untuk kita, pintu-pintu nerakanya tertutup rapat manakala syaithan yang selalu menghalangi langkah kita untuk menghampiri Allah SWT dirantai. Bahkan pada bulan itu pula ada malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Bukankah semua ini menggambarkan sifat rahmah atau kasih sayang Allah? Bukankah seharusnya cinta dan rindu kita padaNya semakin memenuhi segala ruang di dalam hati kita? Bukankah segala halangan yang merintangi harapan kita kini dihilangkan buat seketika? Bukankah Allah sedang menantikan taubat kita serta bersedia untuk mengampunkan dosa-dosa kita?

Bukankah Ramadhan itu satu hembusan kebahagiaan yang akan menghidupkan semula hati yang hampir mati dan memberi kekuatan pada jiwa yang lemah?

Sungguh Rasulullah SAW telah menghembuskan kebahagiaan ini pada jiwa para sahabat hingga mereka benar-benar merindukan kedatangan Ramadhan. Dan kitapun dapat merasai kehangatan ini apabila mereka mengalunkan kalimah “Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan”. Sungguh kitapun turut merasa rindu apabila kalimah-kalimah ini diulang semula walaupun kita tidak benar-benar memahaminya sebagaimana difahami oleh para sahabat. Ya, inilah alunan lagu cinta dan rindu yang akan turut dirasai walaupun kita tidak benar-benar memahaminya, ianya adalah alunan yang tercetus dari hati yang mengimani Rabbnya, jiwa yang meyakini pertemuan denganNya dan jasad yang diwaqafkan untuk Yang Paling Dicintai.

Tentu saudara/ri pembaca boleh merasai kehangatan cinta ini walaupun tidak benar-benar memahaminya. Sungguh saya merasainya walaupun saya tidak benar-benar memahami apa yang saya coretkan ini. Inilah keajaiban rindu dan cinta hakiki yang dianugerahkah Allah kepada mereka dan kitapun mengharap perkara yang sama untuk kita merasai dan memahami. Semoga semua ini menjadi hadiah Ramadhan untuk jiwa yang sedang menantikan keajaiban


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

Jom Jadik malas!!!

Apa yang telah anda buat pada hari ini?
Lihat hari yang telah berlalu, adakah terisi dengan perkara berfaedah?
Seringkali kita mendengar pesanan ini

"Masa hidup sebelum mati"

"Masa sihat sebelum sakit"

"Masa muda sebelum tua"

"Masa kaya sebelum miskin"

"Masa senang sebelum susah"

Tapi adakah kita benar-benar mengambil iktibar dari pesanan ini? Seperti satu kata pepatah "Orang yang boros hanya hilang wang, tapi orang yang membazirkan masa telah rugi sebahagian daripada hidupnya"

Jika kita lihat Imam al-Ghazali, beliau membahagikan masa dengan 1/3 masa diperuntukkan untuk ibadah, 1/3 masa diperuntukkan untuk bekerja dan 1/3 masa lagi digunakan untuk belajar. Bagaimana pula dengan kita?

Marilah kita jadi malas untuk malas. Hargailah setiap detik masa yang berlalu dan rancang masa sebaiknya.


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

~ CARA-CARA MENGHALANG GODAAN SYAITAN ~

Bagi membantu manusia menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para solihin dengan katanya: “ saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk  ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui 10 pintu.”

1.Tamak dan buruk sangka
Maka saya menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

2. Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan.
Saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.

3. Cintakan kerehatan dan kemewahan
Lantas, saya menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

4. Kagum terhadap diri sendiri (u’jub)
Lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah swt dan kepada akibat buruk.

5. Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka
Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak mereka  serta menghormati mereka secara wajar.

6. Hasad (dengki)
Lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qanaah) dan redha terhadap kurniaan Allah swt terhadap makhluknya.

7. Riya’ dan sukakan pujian orang
Lalu saya menghadapinya dengan menjaga keikhlasan.

8. Bakhil (kedekut)
Lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa  manakala yang kekal itu ada di sisi Allah swt.

9. Takabbur (membesarkan diri)
Lalu saya menghadapinya dengan rasa tawaddhuk (rendah diri)

10. Tamak haloba
Lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah swt dan tidak tamak tehadap apa yang ada di sisi manusia.


Di antara arahan yang dianjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelakkan serangan dan tipu daya syaitan ialah agarsentiasa seseorang itu mengingati Allah apabila memulakan sesuatu pekerjaan.


 Satu riwayat dari Abu Hurairah r.a berhubung dengan hal ini:

“  Syaitan bagi orang mukmin telah menemui syaitan bagi orang kafir, lalu didapati syaitan bagi orang kafir dalam keadaan gemuk montel, sedangkan syaitan bagi orang mukmin dalam keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan  bagi orang kafir itu bertanya syaitan bagi orang mukmin. Kenapa kamu kurus kering? Lalu ia menjawab: “ Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan, ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila minum ia menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku bertelanjang. Apabila ia memakai minyak rambut juga menyebut nama Allah, lalu aku pun kusut masai”. Kemudian syaitan bagi orang kafir itu berkata:” Tetapi aku bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum dan pakaian dengannya”


Di antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan bagi menghadapi tipu daya syaitan:

1.Jangan makan dengan terlalu kenyang meskipun makanan yang baik dan halal.
2.Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan.
3.Tidak tergopoh2 dalam melakukan sebarang pekerjaan.


“ Sesungguhnya orang-orang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka akan melihat kesalahannya (kembali sedar)” (Surah Al-A’raf: 201”


Rujukan : Apa erti saya menganut Islam (Allayarham Ustaz Fathi Yakan


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

**CiNTa iSLamiK**

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:

'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'

'saya cintakan awak kerana Allah..'

'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..
'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.

'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'

'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'

'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'

'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'



Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)

YA! untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")

Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan

Wednesday, July 13, 2011

## AYUH PROSES HATI KITA ##

Malam itu damai. Angin bertiup seperti biasa.

Syahirah bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.

"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Syahirah bersuara. Satu persatu wajah sahibah Syahirah pandang.

"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."

Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.
"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat Syahirah berhenti sebentar di situ.

"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"

Wajah semua sahibah Syahirah tatap. "Agak-agak Saidina Umar nak apa?"

Semua diam, menanti bicara selanjutnya.

"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"

Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.

Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!

Proses Hati
Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.

Ibarat sebuah cermin
Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit, letak T3 ke.

Tapi, Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.

Apabila hati kotor, dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.

Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.

Masyarakat yang kucar-kacir.
Pemimpin yang pecah amanah.
Memutuskan Ikatan persahabatan
Pelajar yang memberontak sini-sana.
Kes bunuh diri.
Dan bermacam lagi.

Semua itu berpunca daripada satu perkara :HATI.

Kerana itu munculnya satu hadith,
Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI.

Umpama raja dalam diri. Kawallah raja itu, agar setiap masa bersama Ilahi, moga nanti badan bergerak seperti seorang manusiawi.

Bersihkan Hati

Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.

Tsabit bin Qurah berkata :
Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap. Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali.

Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri, Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!

Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.

Moga Allah meredhai.

Wallahu'alam


ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila ilmu itu diamalkan


POLI Bloggerz